Monday, March 11, 2013

Teori Sistem Dunia Di Kuala Terengganu?


Dalam menelusuri satu kajian yag dipelopori oleh Immanuel Wallerstein(1974) mengenai Modern World System, menyatakan terdapat bentuk-bentuk negara yang berbeza iaitu Negara Pusat, Negara Semi Pinggiran dan Negara Pinggiran. Dalam teori ini juga dikaitkan dengan dua teori lain iaitu Teori Pergantungan dan Teori Kebergantungan. Dalam memahami teori ini, wujudnya pergantungan antara tiga buah negara yang dinyatakan sebelum ini. Secara tidak langsung, akan mewujudkan satu sistem baru yang mempengaruhi negara-negara tersebut iaitu sistem Kapitalis. Sistem ini menerangkan bahawa wujudnya golongan yang mengaut keuntungan secara berlebihan tanpa memikirkan tahap ekonomi masyarakat sekeliling. Maka, dalam merungkaikan perkara ini, akan dinyatakan dalam penulisan yang seterusnya secara terperinci berkenaan Modern World System dengan kajian kes Kuala Terengganu.            

            Dalam pembentukan Sistem Dunia Moden, terdapat tiga fasa negara iaitu Negara Pusat, Negara Separa Pinggiran dan Negara Pinggiran. Lazimnya, Negara Pusat menjadi tumpuan utama dalam kegiatan ekonomi moden seperti di kawasan bandar, manakala Negara Pinggiran dikaitkan dengan kawasan luar bandar yang berbeza tahap kemajuannya berbanding kawasan bandar. Sebagai contoh, menggunakan kajian kes Kuala Terengganu iaitu berdasarkan pasaraya Mydin dan Giant yang berada di Kuala Terengganu adalah dicirikan sebagai sebuah Negara Pusat kerana melihat kepada kedudukan pasaraya tersebut yang terletak di kawasan Bandar yang menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli belah, manakala pasaraya Hock Kee Seng yang berada di Gong Badak dicirikan sebagai sebuah negara semi pinggiran dan kedai-kedai runcit atau restoran-restoran yang berada di kawasan kampong di sekitar kawasan ini dicirikan sebagai sebuah negara pinggiran. 


 
          Sehubungan dengan itu, dalam konteks Teori Sistem Dunia, wujudnya Teori Pergantungan dan Teori Kebergantungan. Dalam konteks Teori Pergantungan, pasaraya Hock Kee Seng yang disifatkan sebagai sebuah Negara Separa Pinggiran bergantung kepada Negara Pusat untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memastikan aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya berjalan seperti biasa dan dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat, manakala kedai-kedai runcit dan restoran-restoran yang disifatkan sebagai Negara Pinggiran bergantung sumber kepada negara Separa Pinggiran dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat, makna kata, dalam kefahaman mudah, Hock Kee Seng bergantung kepada Mydin dan Giant dan kedai-kedai runcit dan restoran bergantung kepada Hock Kee Seng dalam mendapatkan keperluan. 

         Teori Kebergantungan pula memperihalkan keadaan saling memerlukan antara satu sama lain, yang mana Negara Pusat, Negara Separa Pinggiran dan Negara Pinggiran saling bergantungan antara satu sama lain. Sebagai Contoh, keadaan Mydin dan Giant yang memerlukan pelanggan dalam memastikan barangan atau stok jualan terjual dan mendapat keuntungan daripada jualan tersebut, andaikata Negara separa pinggir iaitu Hock Kee Seng tidak melakukan sedemikian, adalah sukar untuk Negara pusat memenuhi sasaran semasa dan bertahan dalam pasaran. begitu juga yang berlaku pada kedai-kedai runcit dan restoran iaitu Negara pinggir yang melihat bahawa tanpa mereka, Hock Kee Seng akan kekurangan permintaan yang membuatkan keadaan pasaraya itu sendiri menjadi tidak stabil. Maka, kebergantungan dilihat apabila Mydin dan Giant memerlukan Hock Kee Seng sebagai pelanggan, dan Hock Kee Seng memerlukan Mydin dan Giant sebagai pembekal barangan, begitu juga yang terjadi antara kedai-kedai runcit dan restoran yang ada terhadap kewujudan Hock Kee Seng.


          Setelah berlakunya semua perkara ini, maka akan wujud pula suatu perkara yang lain, iaitu munculnya kapitalis. Pada asasnya kapitalis ini wujud apabila berlakunya keadaan di mana penghasilan sesuatu untuk dipakai berubah kepada penghasilan untuk dijual dan mengaut keuntungan. Maka dalam konteks ini, kapitalis ini akan wujud apabila dengan sewenang-wenangnya Negara pusat atau Negara separa pinggiran menaikkan harga barang sesuka hati dalam kondisipermintaan terhadap sesuatu barang adalah tinggi. Tekanan akan berlaku terhadap Negara separa pinggiran yang secara tidak langsung mempengaruhi Negara pinggiran. Ianya seringkali wujud apabila pergantungan terhadap Negara separa pinggiran dan Negara pinggiran pada Negara pusat adalah tinggi sehingga Negara pusat bertindak mengambil kesempatan terhadap perkara tersebut. Kesannya berlaku keadaan ekonomi yang tidak stabil dalam kalangan masyarakat di Negara separa pinggiran dan Negara pinggiran serta semakin meningkat bilangan golongan kapitalis yang mengaut keuntungan tanpa memikirkan pendapatan masyarakat sekeliling. 

      Tuntasnya, teori ini dicirikan dengan penguasaan negara pusat terhadap negara semi pinggiran dan pinggiran. Matlamat penguasaan negara pusat terhadap semi pinggiran dan pinggiran adalah untuk mengaut keuntungan dalam kerangka kapitalisme bersatu.

No comments:

Post a Comment