Tuesday, May 14, 2013

SEKITAR NUANSA PILIHANRAYA DI KAWASAN SIMPANG RENGGAM


Assalamualaikum wbt…


                Sepertimana yang kita tahu, isu berkenaan pilihanraya sedang hangat diperkatakan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di seluruh Malaysia, malah masyarakat di luar negara. Hal ini kerana isu pilihanraya di Malaysia mencuri perhatian penduduk di seluruh dunia. Wartawan-wartawan dari pelbagai negara datang ke Malaysia untuk membuat liputan berkenaan nuansa pilihanraya di Malaysia. Admin dimaklumkan oleh penduduk di Simpang Renggam bahawa ada graduan dari Taiwan datang ke Simpang Renggam untuk membuat kaji selidik berkenaan pilihanraya di Malaysia. Hal ini membuktikan bahawa pilihanraya di Malaysia menarik minat negara-negara luar untuk mengkaji tentangnya.

                Dalam entry pada kali ini, admin ingin menyentuh dan mengupas serba sedikit berkenaan suasana malam sebelum hari membuang undi dan pada hari membuang undi di kawasan Simpang Renggam. Pada malam sebelum hari pembuangan undi, admin telah turun ke pekan Simpang Renggam untuk melihat bagaimana keadaan pekan Simpang Renggam. Adakah dipenuhi anak-anak muda? Atau membisu seribu bahasa? Pada jam 1 pagi, kelihatan anak-anak muda berkonvoi menaiki motosikal sambil mengibarkan bendera parti yang mereka sokong. Mereka berulang-alik mengibarkan bendera parti sokongan mereka.



                Admin mempunyai pendapat tersendiri mengenai tindakan anak-anak muda menghabiskan minyak motor berulang alik ke sana ke mari di pekan Simpang Renggam. Admin berpendapat ianya merupakan perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai membazir, iaitu membazir masa dan minyak motor. Hal ini kerana pada waktu itu, Pekan Simpang Renggam sudah lengang dan tiada manusia yang berkeliaran di situ. Kepada siapakah mereka berkempen?? Hantu kot.. hahaha. Tidak mengapalah. Barangkali mereka saja suka-suka dan memiliki semangat waja yang tinggi untuk mengibarkan bendera parti kesukaan mereka. Tidak kira parti politik yang memihak kerajaan atau pembangkang, dua-dua sama sahaja. Kalau dua-dua parti buat begitu dalam keadaan tempat tersebut sudah tiada penghuni, bagi admin tu adalah kerja gila. Hahaha.

                Baiklah. Admin nak perkenalkan siapakah calon yang bertanding bagi kawasan Parlimen Simpang Renggam dan DUN Machap. Bagi Parti Barisan Nasional, Saudara Liang Teck Meng telah dipilih untuk bertanding bagi Parlimen Simpang Renggam.




Manakala DUN Macap pula telah diwakili oleh Saudara Muhammad Taib.



 Bagi calon pakatan Rakyat pula, Saudara Suhaizan Kaiat telah dipilih untuk bertanding di peringkat Parlimen, 



manakala Saudara Khalid Salekan telah dicalonkan di Peringkat DUN Machap.



 Untuk pengetahuan semua, Pakatan Rakyat di Simpang Renggam telah bersepakat untuk memilih calon dari Parti Islam Semalaysia (PAS) untuk bertanding dalam pilihanraya pada kali ini. 

Suasana pada hari Pembuangan Undi....




Buat pengetahuan semua, admin juga merupakan pengundi yang mengundi buat pertama kali. Suasana sekitar jam 10.30 pagi merupakan suasana kemuncak kerana pengundi ramai yang turun mengundi pada waktu tersebut. Berikut merupakan suasana di Sekolah Kebangsaan Kampung Dato’ Ibrahim Majid yang menjadi pusat pembuangan undi bagi kawasan Jalan Benut.

Petugas SPR yang memberi kebenaran utk mengambil gambar
Kelihatan petugas2 SPR sedang menjalankan tugas dengan menyediakan  kerusi roda bagi warga emas.

Semasa pembuangan undi sedang dilakukan, para pengundi perlu beratur bagi menunggu giliran untuk membuang undi. Di lokasi tersebut, terdapat 4 saluran bagi proses pembuangan undi. Berikut merupakan suasana ketika pembuangan undi dijalankan.



Para pengundi sedang menunggu giliran untuk membuang undi.


Proses calitan dakwat di jari (dpt capture dari jauh je)




            Sebagai intiha, pilihanraya umum yang berlaku serentak di seluruh Malaysia dipantau sepenuhnya oleh petugas2 SPR. Para pengundi yang datang untuk membuang undi sebenarnya sudah menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka rasa boleh menerajui negara dan kebajikan rakyat terutamanya. 

















Saturday, March 30, 2013

Pasar & Pasaraya



Gerai sampingan yang berada di luar MYDIN Kuala Terengganu

Dalam memerhati tarikan yang berada di Giant dan Mydin Kuala Terengganu, apa yang kelihatan adalah Mydin mempunyai satu tarikan yang sedikit berlainan daripada Giant, di Mydin, mereka membuka sub gerai yang berada di setiap penjuru kiri, kanan, dan hadapan, iaitu ia seakan-akan seperti di pasar malam seperti menjual beg, tudung, jam tangan, dan sebagainya. Melihat kepada keadaan ini, pengunjung akan dapat melihat bahawa terdapatnya jualan tersebut daripada jauh dan menarik pengunjung untuk ke kawasan tersebut walaupun dengan hanya mahu melihat mahupun membeli. Seperti mana konsep pasar malam yang mendedahkan banyak barangan yang dijual dalam keadaan terbuka, konsep inilah yang menarik minat pengunjung atau pembeli untuk ke Mydin seperti menarik pembeli untuk ke pasar malam pada setiap minggu sama ada hanya untuk “window shopping” atau “Buy and go”. Jika diperhatikan dengan baik, dalam menganalisis keadaan ini, melalui hati anda sendiri, sudah semestinya tahap keseronokan untuk ke pasar malam adalah lebih tinggi daripada pasar raya berikutan suasana yang bebas, ramai penjual, banyak barangan dan sebagainya, maka konsep yang sama secara tidak langsung dibawa oleh Mydin untuk menambah keseronokan pengunjung yang datang ke pasar raya tersebut.

                Walau bagaimanapun, disebabkan ini hanyalah sub gerai, maka terdapat sedikit kelemahan yang wujud. Memang ia akan menambah keseronokan, menarik pengunjung dan sebagainya, tetapi apabila dibandingkan dengan harga yang terdapat di tempat lain atas barangan yang sama, sub gerai di Mydin adalah sedikit tinggi harga barangannya. Ia berlaku berikutan pengurus pasar raya menetapkan harga sewa yang tinggi, maka akan menyebabkan barangan yang dijual oleh sub gerai ini juga adalah tinggi, sekali gus menyebabkan tarikan pengunjung untuk membeli adalah berkurangan, ini diakui sendiri oleh pengunjung di Mydin yang melihat pembeli hanya datang untuk melihat dan bukan membeli kerana harga adalah mahal berbanding di pasar minggu, maka, sudah tentu pembeli membuat pilihan untuk membeli di pasar minggu sahaja. Persoalannya, adakah sub gerai ini mempunyai kepentingan ke atas perniagaan Mydin, atau benar-benar ingin memberi keuntungan kepada penjual? 

Add caption

Tuesday, March 26, 2013

Perubahan Sosial


Teringat minggu lepas sahabat mengadu dan merungut kerana masyarakat memandang sinis dirinya gara-gara dia memberitahu nama kursus yang diambil. Gara-gara perkataan ‘sosial’, dia telah diberikan stigma oleh masyarakat.

Kenapa masyarakat memandang ‘sosial’ itu negatif? Benarkah ‘sosial’ itu bersifat negatif dan adakah selamanya bersifat negatif? Ermm… Mari kita kupas hal ini bersama-sama. Mungkin dari perkongsian anda semua dapat memberikan impak yang berguna atau paling tidak sedikit pencerahan buat semua.
Menurut Lewis, sosial adalah sesuatu yang dicapai, dihasilkan dan ditetapkan dalam interaksi sehari-hari di antara rakyat dan pemerintah. Lain pula halnya menurut Philip Wexler di mana beliau melihat dari sudut yang lebih dalam. Menurutnya, sosial adalah sifat dasar dari setiap individu manusia. Engin Fahri. I pula mendefinisikan sosial sebagai inti dari bagaimana setiap individu berhubungan. Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa sosial merupakan keadaan di mana terdapatnya individu lain atau lebih tepat lagi, sosial bermaksud kemasyarakatan. Kehadiran individu lain itu bukan sahaja secara nyata, malah meliputi kehadirannya secara tidak nyata(imaginasi). Setiap kali anda melihat orang atau mendengar sahaja, hal itu merupakan situasi sosial. Contoh lain, membuat panggilan, berbual melalui internet, berinteraksi di laman sesawang Facebook, membayangkan seseorang, menulis surat, dan mengingati peristiwa buruk termasuk dalam kegiatan sosial.

Untuk lebih jelas lagi, sekarang cuba anda bayangkan di manakah anda betul-betul sendirian? Tidak berbuat apa-apa dan tidak memikirkan apa-apa? Mesti sukar bukan? Maka, benarlah apa yang . Jadi, di manakah rasionalnya sosial itu sesuatu yang negatif?

Mari kita kupas dengan lebih mendalam apa itu perubahan sosial pula…

Perubahan sosial ialah perubahan yang berlaku pada struktur sosial sesebuah masyarakat, di mana pola hubungan sosial yang lama digantikan dengan pola hubungan sosial yang baru. Menurut Karl Marx, perubahan sosial ialah perubahan daripada masyarakat feudal kepada masyarakat kapitalis(dari sudut pandangan ekonomi). Manakala menurut Durkheim, perubahan sosial ialah perubahan dari masyarakat dengan solidariti mekanik menjadi masyarakat dengan solidariti organik(dari sudut pandangan demografi).

Terdapat 3 pola perubahan sosial iaitu Pola Linear, Pola Siklus dan Pola Gabungan Linear dan Siklus. Pola Linear ialah masyarakat yang sederhana menuju kepada masyarakat yang maju dengan pembahagian kerja yang kompleks. Manakala Pola Siklus pula merujuk kepada masyarakat yang berkembang seperti roda iaitu kadang kala berada di atas (kaya/senang) dan kadang kala berada di bawah(susah/miskin). Pola Gabungan pula menurut Etziony dan Halevy, beberapa teori perubahan sosial menunjukkan adanya perpaduan di antara Pola Linear dan pola Siklus.

Kesimpulannya, sosial itu sendiri sifatnya sangat luas dan berdirinya bukan dilihat sebagai sesuatu yang negatif hanya kerana label masyarakat terhadap tingkah laku negatif segelintir kelompok dalam masyarakat itu yang menyebabkan berlakunya salah faham dalam mentakrifkan makna sosial itu sendiri. Sekian.

Monday, March 18, 2013

Gabon Ohh Gabon

salam sejahtera kepada pembaca tegar blog kami =) terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan yang tegar kepada blog ini..


entri kali ini kita bincang tentang negara luar .. ia sebuah negara yang terletak di benua Afrika iaitu Gabon ..kali pertama admin dengar nama Gabon ini tergelak dibuatnya sebab tak pernah dengar sebelum ini .. ada dikalangan pembaca sudah mengetahui negara ini .. masih cetek ilmu admin ini .. hihi =)


Bendera Negara Gabon
(three equal horizontal bands of green (top), yellow, and blue; green represents the country's forests and natural resources, gold represents the equator (which transects Gabon) as well as the sun, blue represents the sea)

Admin mulakan dengan sedikit sejarah negara Gabon dan struktur geografi negara ini .. Gabon terletak di benua Afrika dimana kedudukan Gabon diantara negara Republik Of Congo dan negara Camaroon. Memiliki keluasan sebesar 267,667 km/q ( 2 kali ganda negeri Sarawak ) . Menurut laman sesawang UNDP pada tahun 2011 seramai 1,563.900 warga penduduk Gabon dicatatkan. Bahasa utama yang dituturkan di negara ini adalah bahasa Perancis , manakala bahasa pribumi seperti Fang,Myene,Nzebi,Bandjabidan sebagainya antara bahasa lain yang dituturkan di Gabon.



Peta Negara Gabon 


Menurut laman sesawang Central Inrelligence Agency (US) mejoritinya penduduk negara Gabon menganuti agama Kristian (55%-75%), animist , Islam (1%) . Puak Bantu antara puak yang terbesar selain daripada Puak Fang , Puak Bapounou , Puak Nzebi dan Puak Obamba . Selebihnya termasuk orang Afrika , Eropah dan orang Perancis .

Kemerdekaan negara Gabon pada 17 Ogos 1960 ( daripada Perancis ) . El Hadj Omar Bongo antara pemimpin dunia yang memerintah negara yang paling lama iaitu selama 4 dekat (1967-2009) selepas kematian beliau pada tahun 2009 pemerintahan Gabon diteruskan oleh anaknya yang bernama Ali Ben Bongo. Semasa pemerintahan Omar Bongo beliau mengamalkan ekonomi tutup pintu dan politik rapat dengan Perancis. Namun beliau menafikan beberapa tomahan yang menyatakan beliau antara yang terlibat dalam kes rasuah ( skandal syariakt minyak Perancis ) di dalam mahkamah Perancis. Selain daripada itu juga beliau dikatakan antara pemimpin yang terkaya didunia .

Perdana Menteri El Hadj Omar Bongo (1967-2008)


Ini kerana Gabon merupakan antara negara yang terkaya di benua Afrika . Hasil ekonomi utama negara Gabon adalah industri perkayuan dan penanaman manga sehinggalah minyak ditemui di luar pesisir pada tahun 70 an. Kenaikan harga minyak pada tahun 1999 sehingga 2008 telah membantu meningkatkan ekonomi Gabon. Pada tahun 2010 hasil KDNK bergantung 50% kepada minyak dan selebihnya pendapatan daripada  barangan eksport . Walaubagaimanapon hasil minyak baik tapi terdapat industri lain yang mengalami kerugian dan menyebabkan pendapatan negara mengalami kegagalan. Oleh sebab itu Gabon telah menandatangani $ 1 billion bon daripada IMF untuk mengimbangi krisis ekonomi yang berlaku. Walaupun Gabon sebuah negara yang kaya dengan hasil semulajadi namun kegagalan pengurusan esset pada ketika itu menyebabkan Gabon dilanda masalah ekonomi. Presiden Omar Bango ketika itu membuat pelbagai usaha-usaha bagi mengukuhkan ekonomi negaranya ketika itu.

Berikut antara cerita-cerita yang dapat admin kumpulkan untuk negara Gabon ni .. banyak lagi sebenarnya cerita pasal negara ini..nanti ada rezeki admin cerita pasal konfik kaum di Gabon pulak .. =)


Benua Afrika terkenal disebabkan terdapat pelbagai hidupan liar yang terpelihara .. dimana kebanyakan rancangan-rancangan dokumentari hidupan liar di rakam di Afrika .. Struktur geografi bumi Afrika yang menyimpan seribu makna , seribu juta tahun sejarah hidupan liar terdapat di bumi Afrika. Oleh kerana Gabon juga terletak di Afrika maka ia tidak terlepas daripada sejarah hidupan liar pribumi dunia.. Gabon juga menyediakan beberapa tempat yang tertentu untuk melihat kehidupan liar secara langsung dan ini juga antara penarik pelancong yang terdapat di Gabon..

Monday, March 11, 2013

Teori Sistem Dunia Di Kuala Terengganu?


Dalam menelusuri satu kajian yag dipelopori oleh Immanuel Wallerstein(1974) mengenai Modern World System, menyatakan terdapat bentuk-bentuk negara yang berbeza iaitu Negara Pusat, Negara Semi Pinggiran dan Negara Pinggiran. Dalam teori ini juga dikaitkan dengan dua teori lain iaitu Teori Pergantungan dan Teori Kebergantungan. Dalam memahami teori ini, wujudnya pergantungan antara tiga buah negara yang dinyatakan sebelum ini. Secara tidak langsung, akan mewujudkan satu sistem baru yang mempengaruhi negara-negara tersebut iaitu sistem Kapitalis. Sistem ini menerangkan bahawa wujudnya golongan yang mengaut keuntungan secara berlebihan tanpa memikirkan tahap ekonomi masyarakat sekeliling. Maka, dalam merungkaikan perkara ini, akan dinyatakan dalam penulisan yang seterusnya secara terperinci berkenaan Modern World System dengan kajian kes Kuala Terengganu.            

            Dalam pembentukan Sistem Dunia Moden, terdapat tiga fasa negara iaitu Negara Pusat, Negara Separa Pinggiran dan Negara Pinggiran. Lazimnya, Negara Pusat menjadi tumpuan utama dalam kegiatan ekonomi moden seperti di kawasan bandar, manakala Negara Pinggiran dikaitkan dengan kawasan luar bandar yang berbeza tahap kemajuannya berbanding kawasan bandar. Sebagai contoh, menggunakan kajian kes Kuala Terengganu iaitu berdasarkan pasaraya Mydin dan Giant yang berada di Kuala Terengganu adalah dicirikan sebagai sebuah Negara Pusat kerana melihat kepada kedudukan pasaraya tersebut yang terletak di kawasan Bandar yang menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli belah, manakala pasaraya Hock Kee Seng yang berada di Gong Badak dicirikan sebagai sebuah negara semi pinggiran dan kedai-kedai runcit atau restoran-restoran yang berada di kawasan kampong di sekitar kawasan ini dicirikan sebagai sebuah negara pinggiran. 


 
          Sehubungan dengan itu, dalam konteks Teori Sistem Dunia, wujudnya Teori Pergantungan dan Teori Kebergantungan. Dalam konteks Teori Pergantungan, pasaraya Hock Kee Seng yang disifatkan sebagai sebuah Negara Separa Pinggiran bergantung kepada Negara Pusat untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memastikan aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya berjalan seperti biasa dan dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat, manakala kedai-kedai runcit dan restoran-restoran yang disifatkan sebagai Negara Pinggiran bergantung sumber kepada negara Separa Pinggiran dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat, makna kata, dalam kefahaman mudah, Hock Kee Seng bergantung kepada Mydin dan Giant dan kedai-kedai runcit dan restoran bergantung kepada Hock Kee Seng dalam mendapatkan keperluan. 

         Teori Kebergantungan pula memperihalkan keadaan saling memerlukan antara satu sama lain, yang mana Negara Pusat, Negara Separa Pinggiran dan Negara Pinggiran saling bergantungan antara satu sama lain. Sebagai Contoh, keadaan Mydin dan Giant yang memerlukan pelanggan dalam memastikan barangan atau stok jualan terjual dan mendapat keuntungan daripada jualan tersebut, andaikata Negara separa pinggir iaitu Hock Kee Seng tidak melakukan sedemikian, adalah sukar untuk Negara pusat memenuhi sasaran semasa dan bertahan dalam pasaran. begitu juga yang berlaku pada kedai-kedai runcit dan restoran iaitu Negara pinggir yang melihat bahawa tanpa mereka, Hock Kee Seng akan kekurangan permintaan yang membuatkan keadaan pasaraya itu sendiri menjadi tidak stabil. Maka, kebergantungan dilihat apabila Mydin dan Giant memerlukan Hock Kee Seng sebagai pelanggan, dan Hock Kee Seng memerlukan Mydin dan Giant sebagai pembekal barangan, begitu juga yang terjadi antara kedai-kedai runcit dan restoran yang ada terhadap kewujudan Hock Kee Seng.


          Setelah berlakunya semua perkara ini, maka akan wujud pula suatu perkara yang lain, iaitu munculnya kapitalis. Pada asasnya kapitalis ini wujud apabila berlakunya keadaan di mana penghasilan sesuatu untuk dipakai berubah kepada penghasilan untuk dijual dan mengaut keuntungan. Maka dalam konteks ini, kapitalis ini akan wujud apabila dengan sewenang-wenangnya Negara pusat atau Negara separa pinggiran menaikkan harga barang sesuka hati dalam kondisipermintaan terhadap sesuatu barang adalah tinggi. Tekanan akan berlaku terhadap Negara separa pinggiran yang secara tidak langsung mempengaruhi Negara pinggiran. Ianya seringkali wujud apabila pergantungan terhadap Negara separa pinggiran dan Negara pinggiran pada Negara pusat adalah tinggi sehingga Negara pusat bertindak mengambil kesempatan terhadap perkara tersebut. Kesannya berlaku keadaan ekonomi yang tidak stabil dalam kalangan masyarakat di Negara separa pinggiran dan Negara pinggiran serta semakin meningkat bilangan golongan kapitalis yang mengaut keuntungan tanpa memikirkan pendapatan masyarakat sekeliling. 

      Tuntasnya, teori ini dicirikan dengan penguasaan negara pusat terhadap negara semi pinggiran dan pinggiran. Matlamat penguasaan negara pusat terhadap semi pinggiran dan pinggiran adalah untuk mengaut keuntungan dalam kerangka kapitalisme bersatu.

Sunday, March 10, 2013

Giant VS 1 Malaysia

yeah !! bertemu lagi kita semua .. tadi admin sempat membelek gambar-gambar yang diambil masa keluar ke tempat kajian jadi terpikir nak buat entri yang ini pula .. baiklah .. kita semua tahu produk 1 Malaysia yang kini dikatakan produk barangan keperluan yang murah dan mampu milik untuk semua pembeli .. jadi Mydin mengambil kesempatan untuk menjual produk 1 Malaysia ini di premis perniagaan mereka ..






Tak banyak barang-barang 1 Malaysia yang ada di Mydin .. ada barang yang tertentu sahaja yang dijual disini. Alamatnya nak cari barangan 1 Malaysia juga kene pergi kedai 1 Malaysia juga lah =)

Pemerhatian admin dapati Giant ada sedikit 'advance' berbanding dengan Mydin .. pemerhatian admin dapati hampir 40 % barangan yang terdapat di Giant adalah keluaran Giant sendiri ..  ini bermakna Giant sudah mengeluarkan produk sendiri .. seperti air minuman, makanan ringan,pakaian, tisu dan lain-lain ..








kelebihan dari sudut pengeluaran produk tanpa bergantung dengan jenama lain membantu Giant terus menerajui perniagaan mereka secara tidak langsung memperkenalkan produk Giant .. Selain daripada Giant ada juga Syarikat Pasaraya seperti Tesco , Pacific , Aeon Jusco yang mengelurkan produk syarikat mereka .. langkah seperti ini boleh dicontohi oleh Mydin bagi menigkatkan hasil keluaran dalaman mereka seterusnya dapat meningkatkan hasil jualan produk barangan buatan Malaysia. ..

Betol Ke Murah ??

assalammualaikum ...

baiklah kali ni admin nak cerita banyak pasal Giant dan Mydin ni .. al maklumlah kedua-dua pasaraya ni dekat-dekat je.. jadi admin nak kongsi perbezaan antara 2 pasaraya ni .. mula kita singgah ke Mydin dahulu ... rata-rata penduduk Kuala Terengganu lebih kerap ke Mydin atas beberapa faktor :

1) Harga murah
2) Pelbagai barangan
3) Barangan boleh beli borong
4) Syarikat ' orang kita ' 

baiklah .. berikut antara sebab yang admin berjaya  tanyakan kepada pengunjung yang datang ke Mydin mereka ada sebab yang tersendiri .. bila admin tanyakan mengapa tidak pilih Giant ?? ini yang mereka katakan ..

1) Giant tak banyak barang macam Mydin
2) Kadang - kadang ada barang Giant lagi mahal dari Mydin 
3) Mydin best
4) Mydin macam-macam ada


haha .. itu antara reaksi pengunjung Mydin .. bila admin tanyakan kenapa pilih Mydin dari Giant .. bila admin pergi sendiri ke Giant terkejut juga admin bila pasaraya Giant memperlihatkan 'ketandusan' pengunjung .. ini buktinya .. 




Betul kan admin cakap ?? ramai yang ada di Mydin ni antara gambaran yang sempat admin rakamkan.. jom kita tgok Giant pulak ..








admin pergi pada hari yang sama jadi ini keadaan Giant yang sungguh lengang  ketiadaan pengunjung .. ada mulut-mulut yang katakan ramai penggunjung lari ke Giant Baru (Giant Gong Badak).. katanya barang lagi murah sebab harga promosi .. hihi 

Monday, March 4, 2013

Dalam Shopping Mall ada Kedai Serbaneka ??



Mungkin kawan-kawan semua dah perasan ada satu kedai serbaneka ( lebih kurang macam seven E lah ) di pintu bahagian Food Court di Mydin .. admin meninjau didalam kedai tersebut .. harga yang dipamerkan tidak jauh beza dengan harga Mydin .. beza beberapa sen je .. kedai ni buka 24 jam .. jadi jangan peliklah kalau ada orang pergi Mydin pukul 3 pagi =)

JPJ di Mydin ??



Mula - mula sampai Mydin  ke bahagian barang basah admin terperasan papan tanda ini.. rupanya Mydin ada "JPJ" .. tergelak besar admin dengan kawan disitu .. ramai orang menoleh kearah kami lalu kami terus buat kerja lain ..

Ingatkan JPJ betul-betul .. rupanya tempat menimbang barangan yang dibeli .. hehe =)

Video Korporat Mydin




Pengenalan umum tentang Mydin .. creadit tu YouTube .. =)

Pengenalan




Mydin ditubuhkan pada 1918 oleh Gulam Husen Jamal, iaitu bapa kepada Mydin Mohamed . Lokasi pertama MYDIN ialah di Pulau Pinang, namun ia telah terbakar semasa perang dunia ke 2. Berkat keazaman yang tinggi salah seorang dari anaknya iaitu Mydin Mohamed, MYDIN sudah menembusi pasaran dalam Malaysia kini. Pada 1957, beliau telah membuka kedai pertamanya yang hanya dibuat dari kayu dengan nama Syarikat Mydin Mohamed in Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan dengan menjual alat permainan dan barang keperluan. Dengan usaha yang gigih, MYDIN telah mengembangkan perniagaannya ke Kuala Terengganu pada 1979. Kemudian, ia telah melebarkan sayap perniagaan mereka di Klang Valley di Jalan Masjid India pada tahun 1989.


Bermula dari penubuhan MYDIN di situ, MYDIN mula dikenali. Kini ia dikenali sebagai 

MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD.


VISI SYARIKAT

" be the world’s leading distributor of competitive Halal goods & services in Malaysia, "



Pada tahun 2012, MYDIN telah menyertai program TUKAR dibawah pelan tarnsformasi ekonomi bersama beberapa pasaraya lain seperti TESCO & CARREFOUR.

Pada Mei 2012, MYDIN sudah mempunyai 94 cawangan di seluruh negara termasuklah 7 hypermarket, 18 emporium, 3 bazar, 52 mini-mart yang beroperasi sebagai MyMydin, 9 kedai serbaneka ynag beroperasi sebagai MyMart and 6 cawangan francais yang beroperasi sebagai Mydin Mart.



ORGANISASI SYARIKAT


Mydin Mohammed (Chairman)

Murad Ali (Executive Director)

Dato' Haji Ameer Ali (Managing Director) 

Ahimmat Ali (Executive Director) 

Salim Ali (Executive Director) 

Datin Dr. Hajah Siti Hawa (Human Resources Director) 

Puan Mumtaz (Director)

Puan Nadiya (Director) 

Malik Murad Ali (IT Director) 

Mirza Murad Ali (Merchandising Director) 



Saturday, March 2, 2013

Tolong Jangan Baca !!


Teori Pemodenan (Modernization Theory)

Teori pemodenan ialah teori yang memperihalkan proses atau fasa transformasi masyarakat tradisi kepada masyarakat moden. Teori pemodenan pada peringkat awal dikenali sebagai Teori Pemodenan Klasik dan tokoh-tokoh yang mengemukakan teori tersebut ialah Auguste Comte, Max Weber, Karl Marx, George Simmel, Emile Durkheim dan Rostow. Secara amnya, mereka memberi fokus kepada impak pemodenan terhadap masyarakat serta implikasi yang dihadapi dalam sesebuah masyarakat moden.
Menurut Karl Marx, perkara paling penting dalam Teori Modenisasi ini ialah :

1.       Teori Kelas

               Menurut Karl Marx, ekonomi merupakan elemen utama dalam masyarakat yang juga dikenali sebagai Basic Structure. Elemen-elemen lain seperti politik, agama, dan yang lain disebut sebagai Super Structure adalah bergantung kepada elemen yang paling utama iaitu ekonomi. Beliau juga mengatakan bahawa modal yang berkembang membawa kepada kekayaan dari sudut material dan ianya dapat membebaskan manusia daripada kesempitan hidup. Namun begitu, keadaan ini dikatakan akan memberi implikasi dari sudut penindasan terhadap golongan majoriti (Ploretariat) di mana penindasan tersebut dilakukan oleh golongan minoriti (Borjuis). Ploretariat adalah golongan yang tidak menguasai kekayaan atau modal, manakala Borjuis adalah golongan yang menguasai kekayaan dan modal.

                Menurut Marx, kelas Proletar bergantung kepada tekanan yang variasi dan eksploitasi daripada golongan Borjuis. Golongan Proletariat diperalat oleh golongan Borjuis untuk menambahkan kekayaan mereka. Implikasinya, golongan  Proletariat sedar bahawa mereka sedang diperalat dan ditindas oleh golongan Borjuis, dan kesedaran kelas (Class Consciousness) ini akan membawa kepada perasaan kelas (Class Feeling). Akhirnya, akan wujud tindakan bagi menghapuskan masyarakat yang berkelas (Class Society) serta menggantikannya dengan masyarakat tanpa kelas (Classless Society).

                Masyarakat tanpa kelas  (masyarakat sosialis) wujud atas dasar sistem pemerintahan pekerja, oleh pekerja dan untuk pekerja. Ianya beroperasi atas prinsip “From each according to his abilities to each according to his needs”.

                Marx juga mengatakan bahawa untuk mencapai tahap masyarakat yang baik (good society), ianya perlu melalui satu tahap pengawasan (tutorial) sehingga golongan pekerja dapat mempelajari cara-cara yang baik untuk hidup bersama dan memperoleh faedah bersama.

2.       Kaedah Dialektik

Kaedah Dialektik ini dikemukakan oleh Hegel lalu diperluas lagi oleh Karl Marx kepada aspek material. Ianya dikenali sebagai konsep “Dialectic Materialisme”.

Menurut Marx, manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka miliki dan peroleh. Mereka sentiasa berusaha dan berjuang untuk memenuhi kehendak dan keperluan yang baru. Idea dialektik ini tidak melihat hubungan antara fenomena sosial dalam bentuk satu hala (One-Way) sahaja.

Satu fenomena boleh menjadi punca berlaku fenomena lain. Contohnya, fenomena A menyebabkan fenomena B berlaku. Tetapi, dalam hubungan dialektik, fenomena A boleh menyebabkan fenomena B berlaku dan juga sebaliknya, fenomena B boleh menyebabkan fenomena A berlaku. Dalam idea dialektik ini, soal nilai tidak diketepikan dalam fenomena yang dikaji.

Bagi Karl Marx, apabila sesuatu fenomena sosial diteliti, seseorang itu didak boleh mengasingkan dan memisahkan nilai daripada fenomena tersebut, malah ianya menjadi sebahagian daripada kajian. Contohnya, nilai-nilai Proletariat. Idea dialektik juga tidak memisahkan satu fenomena sosial dengan fenomena lain dengan jelas, malah semuanya berhubungkait. Contohnya, Borjuis boleh menjadi Proletariat dan sebaliknya. Idea dialektik juga mengambil kira keadaan masa lalu, semasa, dan akan datang.


3.       Konsep Alienation

Konsep Alienation yang diperkenalkan oleh Karl Marx menceritakan tentang fenomena yang dikategorikan sebagai tidak normal atau ketidakfungsian sistem (system disfunctional). Menurut Marx, idea keterasingan (Alienation) boleh dihubungkaitkan dengan pekerja di mana pekerja dianggap berpecah atau dibiarkan berpisah dengan produk (hasil) mereka. Mereka (pekerja) terkeluar dari hubungan dengan persekitaran mereka.

                Selain itu, Marx juga menggunakan konsep keterasingan tersebut untuk menjelaskan idea Alienation dalam ‘kewujudan’ atau ‘kelahiran’ manusia itu sendiri. ‘Kelahiran’ manusia yang dimaksudkan adalah melalui persekitaran mereka,  di mana persekitaran dijadikan sebagai kiasan (metafora) untuk ‘tuan’ atau ‘pencipta’ manusia yang melahirkan individu sebagai seorang manusia. Golongan yang mempunyai kuasa akan lahir dari persekitaran (pencipta) yang melahirkan individu sebagai seorang manusia dan akan menguasai pencipta(persekitaran) mereka.

                Kejadian manusia yang dijelaskan oleh Marx sebagai keterasingan ini akan menguasai pencipta (persekitaran) mereka secara radikal dan akan melahirkan tingkah laku atau karakter yang pelbagai, bukan sahaja melibatkan produk material dan pekerja, malah ianya juga melibatkan institusi sosial yang juga merangkumi aspek pemikiran dan idea seseorang. Menurut Marx juga, wujudnya manusia bukan hanya lahir dari satu entiti, tetapi ianya dikuasai dengan cara yang variasi seperti pembentukan pusat, kenegaraan dan kesedaran agama.

             Menurut Auguste Comte, masyarakat berevolusi secara berperingkat mengikut tiga tahap iaitu :

1.       Tahap Theological & Military

Tahap ini dihubungkaitkan dengan kondisi dunia sebelum abad ke-13. Menurut Comte, idea teori pada tahap ini sarat dengan elemen-elemen luar biasa, imaginasi dan khayalan. Interaksi sosial berbentuk ketenteraan dan unsur taklukan wujud secara meluas dan sains berkembang secara minimum pada tahap ini.

2.       Tahap Metaphysical & Juridical

Tahap ini dihubungkaitkan dengan kondisi dunia pada Abad ke-13 hingga ke-18 yang merupakan tahap peralihan dari tahap Theological & Military kepada tahap Positivistic & Scientific. Pada tahap ini, unsur imaginasi dan khayalan masih meluas. Fenomena sosial masih dijelaskan dengan idea yang abstrak. Masyarakatnya tidak semuanya bercorak ketenteraan(military) dan hubungan sosial tidak begitu tegas(regimented). Sistem perhambaan tidak begitu ketat dan pada ketika itu juga proses perindustrian mula berkembang.

3.       Tahap Positivistic & Scientific

Tahap ini bermula selepas Abad ke 18 sehingga sekarang. Pada tahap ini perkembangan industri yang pesat dapat dilihat. Hubungan sosial pada tahap ini dikatakan bercirikan industrial yang bebas dan terbuka. Fenomena sosial dizahirkan secara saintifik berdasarkan kajian empirikal. Konsepsi teori berasaskan fakta atau kenyataan.

Menurut Rostow pula, pemodenan masyarakat tradisi kepada masyarakat moden bersifat multidimensi  iaitu dilihat dari pelbagai sudut.  Proses pembangunan dibahagikan kepada lima(5) tahap iaitu :

        1.   Masyarakat Tradisional

Ciri-ciri masyarakat tradisional ialah seperti berikut :

a)      Fungsi pengeluaran terhad, kaedah pengeluaran masih lagi primitif dan tahap pengeluaran masyarakat rendah.
b)      Struktur sosial bersifat hierarki, iaitu kedudukan masyarakat tidak berbeza dengan nenek moyang mereka.
c)       Kegiatan politik dan pemerintahan  di daerah-daerah berada di tangan tuan tanah. 

    2.    Pra-keadaan Tinggal Landas

Rostow mengkonsepkan tahap pra-keadaan tinggal landas ini sebagai suatu waktu peralihan di mana masyarakat mempersiapkan dirinya untuk mencapai pertumbuhan berdasarkan kekuatan sendiri(self sustainable-growth). Rostow juga berpendapat bahawa pada tahap ini dan selepasnya, pertumbuhan ekonomi akan berlaku secara automatik.

          Rostow menjelaskan bahawa tahap pra-keadaan tinggal landas memiliki dua (2) bentuk iaitu :

a)      Pertama : Tahap pra-keadaan lepas landas yang dialami oleh negara Eropah, Asia, Timur Tengah dan Afrika, di mana tahap ini dicapai melalui rombakan masyarakat tradisional yang sudah lama ada.

b)      Kedua : Tahap pra-keadaan tinggal landas yang dicapai oleh negara-negara Born Free seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia di mana negara-negara tersebut mencapai tahap tinggal landas tanpa perlu merombak sistem masyarakat yang tradisional. Hal ini disebabkan oleh sifat masyarakat negara-negara tersebut yang merupakan pendatang yang telah memiliki sifat yang diperlukan oleh sesuatu masyarakat untuk tahap pra-keadaan tinggal landas.

     3.    Landas (Lepas Landas)

Bagi mengetahui sama ada sesebuah negara sudah mencapai tahap tinggal landas atau belum, Rostow mengemukakan tiga ciri dari masa berlepas iaitu :

a)      Berlaku kenaikan dalam pelaburan yang produktif dari 5 peratus atau kurang menjadi 10 peratus dari Produk Nasional Netto (NNP).

b)      Berlaku perkembangan satu atau beberapa sektor industri dengan kadar yang cepat serta tinggi.

c)       Wujud suatu rangka dasar politik, sosial dan institusi yang boleh mewujudkan perkembangan sektor moden dan eksternaliti ekonomi yang boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi terus berlaku.

            4.    Menuju Kedewasaan

Kedewasaan bermula ketika perkembangan industri berlaku merangkumi teknik pengeluaran dan pelbagai barangan yang dihasilkan. Contohnya, industri berkembang dengan pesat. Negara menetapkan kedudukan dalam ekonomi global. Barang-barang yang dahulunya diimport sekarang telah dihasilkan dalam negara. Import baru menjadi keperluan. Jadi, untuk mengimbangi barangan import, maka barang-barang eksport hendaklah berkualiti.


      5.  Era Konsumsi (pengambilan) Tinggi.

Pada tahap ini, sebahagian besar masyarakat hidup makmur. Orang-orang yang hidup dalam masyarakat tersebut mendapat kemakmuran dan kesefahaman sekaligus. Menurut Rostow, pada saat ini, masyarakat yang sedang berada dalam peringkat ini adalah masyarakat Barat atau Utara. 

Pada tahap ini, perhatian masyarakat lebih terarah kepada masalah-masalah yang berkaitan dengan penggunaan dan kesejahteraan masyarakat, bukan lagi kepada masalah pengeluaran. Pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran tidak lagi menjadi tujuan utama. Terdapat tiga (3) tujuan masyarakat ataua negara pada ketika itu, iaitu : 
       
       a) Memperluas kuasa dan pengaruh ke luar negara dan kecenderungan itu akan berakhir seandainya berlaku perjajahan terhadap bangsa lain.

       b) Mewujudkan negara yang sejahtera dengan cara berusaha mewujudkan pembahagian pendapatan yang lebih luas melalui sistem cukai yang progresif.

       c) Meningkatkan konsumsi (pengambilan) masyarakat melebihi keperluan asas yang merangkumi barangan yang tahan lama dan barangan mewah.


Jika dilihat secara holistik, Teori Modenisasi merupakan istilah yang digunakan untuk menunjukkan kemajuan atau proses perubahan. Ianya merangkumi pelbagai aspek kehidupan dalam masyarakat. Natijahnya, ianya mewujudkan klasifikasi masyarakat iaitu tradisional dan moden. Selain itu Modenisasi juga tidak dapat dipisahkan dari istilah Transformasi di mana Modenisasi tidak akan wujud tanpa berlakunya Transformasi. Hal ini merupakan antara faktor mengapa Teori Modenisasi ini hanya sesuai diaplikasikan oleh negara yang sedang membangun. Bagi negara yang sedang membangun,  ia memerlukan satu proses perubahan yang secara langsung mempunyai kaitan dengan Teori Modenisasi itu sendiri.


Rujukan.

Monday, February 25, 2013

Pembangunan ialah mencipta bangunan ? benarkah ?

Entry kali ni entah mengapa tiba-tiba diri terpanggil untuk berkongsi serba sedikit ilmu berkaitan apa itu pembangunan? atau lebih tepat lagi definisi pembangunan.

Believe it or not, apabila sebut sahaja perkataan pembangunan itu sendiri, minda kita tidak lain dan tidak bukan secara automatiknya akan terus memfokuskan kepada kepesatan pembinaan bangunan-bangunan (pembinaan sebuah bandar). Tapi sejauh manakah kebenarannya? siapa yang memberitahu kita pembangunan itu ialah bina bangunan? buku mana yang menjelaskannya? carilah kalau ada... Ha..kalut?

Sebenarnya, perkataan "pembangunan" mempunyai makna yang sangat luas, dan tafsiran bahawa pembangunan itu adalah bina bangunan hanya skop kecil yang terkandung di dalam definisi pembangunan itu sendiri. Jawapan itu tak salah. Cuma..kita terdidik dalam satu pemikiran yang sempit. Siapa yang didik? Ha...tepuk dada tanyalah diri..

Menurut Saul M. Katz dalam Guide to Modernizing Administration for National Development (1996), pembangunan didefinisikan sebagai perubahan daripada keadaan biasa kepada keadaan yang dikatakan lebih baik atau ditingkatkan.

Oleh itu, pembangunan bukan sahaja dalam bentuk fizikal seperti struktur bangunan sahaja tetapi meliputi apa-apa sahaja, asalkan ianya boleh diperbaharui dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, kewangan, masyarakat, organisasi dan sebagainya..Perlukan contoh yang lebih jelas lagi? Ok..contohnya :

Kita lihat dari sudut masyarakat kita. Kedatangan Islam di Tanah Melayu dah lama bukan? dibawa oleh pedagang Arab yang singgah dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Tapi, penguasaan dan praktikalnya pemakaian cara Islam lambat berkembang. Masyarakat kita berubah sedikit demi sedikit dari satu zaman ke satu zaman secara majoritinya..Zaman 60-an, budak-budak sekolah menengah masih memakai skirt dan seluar pendek. Sekolah pun tak menguatkuasakan pemakaian tudung. Tahun 90-an baru mula nampak penguatkuasaan dibuat. Disini, bukan nak mempertikaikan kenapa penguasaan masyarakat lambat, tetapi lihat dari sudut proses perkembangan itu. Perubahan yang berlaku dari satu keadaan yang sebelumnya kepada keadaan seterusnya yang lebih baik. Itulah yang dinamakan pembangunan...
Emm..jadi..apa yang membawa kepada pembangunan adalah perubahan sesuatu masyarakat itu..Sebab itulah konsep ini selalu diperkata dan dibincangkan oleh semua orang termasuklah ahli politik, wartawan, pemerintah dan sebagainya..Semuanya mempunyai satu tujuan iaitu memahami dengan lebih mendalam dari sudut teori dan praktikal terhadap proses pembangunan yang bersifat divergen.

Diharap entry kali ini dapat memberikan serba sedikit pencerahan ya..

Thursday, February 21, 2013

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


Alhmadulillah masih lagi diberi kesempatan untuk menulis entri pertama untuk blog ini. Entri yang akan dikongsi bersama sahabat maya aku berkisar agenda pembangunan dan kesannya kepada perubahan dalam masyarakat dari variasi perspektif dengan pembaca semua.

Belum terlambat lagi untuk aku ucap selamat tahun baru 2013 pada semua. Tahun baru azam pun mesti baru. Semoga kita berada dibawah lindungan rahmat dan kasih-NYA.
Harap semua pembaca enjoy~


HAVE A NICE DAY