Saturday, March 2, 2013

Tolong Jangan Baca !!


Teori Pemodenan (Modernization Theory)

Teori pemodenan ialah teori yang memperihalkan proses atau fasa transformasi masyarakat tradisi kepada masyarakat moden. Teori pemodenan pada peringkat awal dikenali sebagai Teori Pemodenan Klasik dan tokoh-tokoh yang mengemukakan teori tersebut ialah Auguste Comte, Max Weber, Karl Marx, George Simmel, Emile Durkheim dan Rostow. Secara amnya, mereka memberi fokus kepada impak pemodenan terhadap masyarakat serta implikasi yang dihadapi dalam sesebuah masyarakat moden.
Menurut Karl Marx, perkara paling penting dalam Teori Modenisasi ini ialah :

1.       Teori Kelas

               Menurut Karl Marx, ekonomi merupakan elemen utama dalam masyarakat yang juga dikenali sebagai Basic Structure. Elemen-elemen lain seperti politik, agama, dan yang lain disebut sebagai Super Structure adalah bergantung kepada elemen yang paling utama iaitu ekonomi. Beliau juga mengatakan bahawa modal yang berkembang membawa kepada kekayaan dari sudut material dan ianya dapat membebaskan manusia daripada kesempitan hidup. Namun begitu, keadaan ini dikatakan akan memberi implikasi dari sudut penindasan terhadap golongan majoriti (Ploretariat) di mana penindasan tersebut dilakukan oleh golongan minoriti (Borjuis). Ploretariat adalah golongan yang tidak menguasai kekayaan atau modal, manakala Borjuis adalah golongan yang menguasai kekayaan dan modal.

                Menurut Marx, kelas Proletar bergantung kepada tekanan yang variasi dan eksploitasi daripada golongan Borjuis. Golongan Proletariat diperalat oleh golongan Borjuis untuk menambahkan kekayaan mereka. Implikasinya, golongan  Proletariat sedar bahawa mereka sedang diperalat dan ditindas oleh golongan Borjuis, dan kesedaran kelas (Class Consciousness) ini akan membawa kepada perasaan kelas (Class Feeling). Akhirnya, akan wujud tindakan bagi menghapuskan masyarakat yang berkelas (Class Society) serta menggantikannya dengan masyarakat tanpa kelas (Classless Society).

                Masyarakat tanpa kelas  (masyarakat sosialis) wujud atas dasar sistem pemerintahan pekerja, oleh pekerja dan untuk pekerja. Ianya beroperasi atas prinsip “From each according to his abilities to each according to his needs”.

                Marx juga mengatakan bahawa untuk mencapai tahap masyarakat yang baik (good society), ianya perlu melalui satu tahap pengawasan (tutorial) sehingga golongan pekerja dapat mempelajari cara-cara yang baik untuk hidup bersama dan memperoleh faedah bersama.

2.       Kaedah Dialektik

Kaedah Dialektik ini dikemukakan oleh Hegel lalu diperluas lagi oleh Karl Marx kepada aspek material. Ianya dikenali sebagai konsep “Dialectic Materialisme”.

Menurut Marx, manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka miliki dan peroleh. Mereka sentiasa berusaha dan berjuang untuk memenuhi kehendak dan keperluan yang baru. Idea dialektik ini tidak melihat hubungan antara fenomena sosial dalam bentuk satu hala (One-Way) sahaja.

Satu fenomena boleh menjadi punca berlaku fenomena lain. Contohnya, fenomena A menyebabkan fenomena B berlaku. Tetapi, dalam hubungan dialektik, fenomena A boleh menyebabkan fenomena B berlaku dan juga sebaliknya, fenomena B boleh menyebabkan fenomena A berlaku. Dalam idea dialektik ini, soal nilai tidak diketepikan dalam fenomena yang dikaji.

Bagi Karl Marx, apabila sesuatu fenomena sosial diteliti, seseorang itu didak boleh mengasingkan dan memisahkan nilai daripada fenomena tersebut, malah ianya menjadi sebahagian daripada kajian. Contohnya, nilai-nilai Proletariat. Idea dialektik juga tidak memisahkan satu fenomena sosial dengan fenomena lain dengan jelas, malah semuanya berhubungkait. Contohnya, Borjuis boleh menjadi Proletariat dan sebaliknya. Idea dialektik juga mengambil kira keadaan masa lalu, semasa, dan akan datang.


3.       Konsep Alienation

Konsep Alienation yang diperkenalkan oleh Karl Marx menceritakan tentang fenomena yang dikategorikan sebagai tidak normal atau ketidakfungsian sistem (system disfunctional). Menurut Marx, idea keterasingan (Alienation) boleh dihubungkaitkan dengan pekerja di mana pekerja dianggap berpecah atau dibiarkan berpisah dengan produk (hasil) mereka. Mereka (pekerja) terkeluar dari hubungan dengan persekitaran mereka.

                Selain itu, Marx juga menggunakan konsep keterasingan tersebut untuk menjelaskan idea Alienation dalam ‘kewujudan’ atau ‘kelahiran’ manusia itu sendiri. ‘Kelahiran’ manusia yang dimaksudkan adalah melalui persekitaran mereka,  di mana persekitaran dijadikan sebagai kiasan (metafora) untuk ‘tuan’ atau ‘pencipta’ manusia yang melahirkan individu sebagai seorang manusia. Golongan yang mempunyai kuasa akan lahir dari persekitaran (pencipta) yang melahirkan individu sebagai seorang manusia dan akan menguasai pencipta(persekitaran) mereka.

                Kejadian manusia yang dijelaskan oleh Marx sebagai keterasingan ini akan menguasai pencipta (persekitaran) mereka secara radikal dan akan melahirkan tingkah laku atau karakter yang pelbagai, bukan sahaja melibatkan produk material dan pekerja, malah ianya juga melibatkan institusi sosial yang juga merangkumi aspek pemikiran dan idea seseorang. Menurut Marx juga, wujudnya manusia bukan hanya lahir dari satu entiti, tetapi ianya dikuasai dengan cara yang variasi seperti pembentukan pusat, kenegaraan dan kesedaran agama.

             Menurut Auguste Comte, masyarakat berevolusi secara berperingkat mengikut tiga tahap iaitu :

1.       Tahap Theological & Military

Tahap ini dihubungkaitkan dengan kondisi dunia sebelum abad ke-13. Menurut Comte, idea teori pada tahap ini sarat dengan elemen-elemen luar biasa, imaginasi dan khayalan. Interaksi sosial berbentuk ketenteraan dan unsur taklukan wujud secara meluas dan sains berkembang secara minimum pada tahap ini.

2.       Tahap Metaphysical & Juridical

Tahap ini dihubungkaitkan dengan kondisi dunia pada Abad ke-13 hingga ke-18 yang merupakan tahap peralihan dari tahap Theological & Military kepada tahap Positivistic & Scientific. Pada tahap ini, unsur imaginasi dan khayalan masih meluas. Fenomena sosial masih dijelaskan dengan idea yang abstrak. Masyarakatnya tidak semuanya bercorak ketenteraan(military) dan hubungan sosial tidak begitu tegas(regimented). Sistem perhambaan tidak begitu ketat dan pada ketika itu juga proses perindustrian mula berkembang.

3.       Tahap Positivistic & Scientific

Tahap ini bermula selepas Abad ke 18 sehingga sekarang. Pada tahap ini perkembangan industri yang pesat dapat dilihat. Hubungan sosial pada tahap ini dikatakan bercirikan industrial yang bebas dan terbuka. Fenomena sosial dizahirkan secara saintifik berdasarkan kajian empirikal. Konsepsi teori berasaskan fakta atau kenyataan.

Menurut Rostow pula, pemodenan masyarakat tradisi kepada masyarakat moden bersifat multidimensi  iaitu dilihat dari pelbagai sudut.  Proses pembangunan dibahagikan kepada lima(5) tahap iaitu :

        1.   Masyarakat Tradisional

Ciri-ciri masyarakat tradisional ialah seperti berikut :

a)      Fungsi pengeluaran terhad, kaedah pengeluaran masih lagi primitif dan tahap pengeluaran masyarakat rendah.
b)      Struktur sosial bersifat hierarki, iaitu kedudukan masyarakat tidak berbeza dengan nenek moyang mereka.
c)       Kegiatan politik dan pemerintahan  di daerah-daerah berada di tangan tuan tanah. 

    2.    Pra-keadaan Tinggal Landas

Rostow mengkonsepkan tahap pra-keadaan tinggal landas ini sebagai suatu waktu peralihan di mana masyarakat mempersiapkan dirinya untuk mencapai pertumbuhan berdasarkan kekuatan sendiri(self sustainable-growth). Rostow juga berpendapat bahawa pada tahap ini dan selepasnya, pertumbuhan ekonomi akan berlaku secara automatik.

          Rostow menjelaskan bahawa tahap pra-keadaan tinggal landas memiliki dua (2) bentuk iaitu :

a)      Pertama : Tahap pra-keadaan lepas landas yang dialami oleh negara Eropah, Asia, Timur Tengah dan Afrika, di mana tahap ini dicapai melalui rombakan masyarakat tradisional yang sudah lama ada.

b)      Kedua : Tahap pra-keadaan tinggal landas yang dicapai oleh negara-negara Born Free seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia di mana negara-negara tersebut mencapai tahap tinggal landas tanpa perlu merombak sistem masyarakat yang tradisional. Hal ini disebabkan oleh sifat masyarakat negara-negara tersebut yang merupakan pendatang yang telah memiliki sifat yang diperlukan oleh sesuatu masyarakat untuk tahap pra-keadaan tinggal landas.

     3.    Landas (Lepas Landas)

Bagi mengetahui sama ada sesebuah negara sudah mencapai tahap tinggal landas atau belum, Rostow mengemukakan tiga ciri dari masa berlepas iaitu :

a)      Berlaku kenaikan dalam pelaburan yang produktif dari 5 peratus atau kurang menjadi 10 peratus dari Produk Nasional Netto (NNP).

b)      Berlaku perkembangan satu atau beberapa sektor industri dengan kadar yang cepat serta tinggi.

c)       Wujud suatu rangka dasar politik, sosial dan institusi yang boleh mewujudkan perkembangan sektor moden dan eksternaliti ekonomi yang boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi terus berlaku.

            4.    Menuju Kedewasaan

Kedewasaan bermula ketika perkembangan industri berlaku merangkumi teknik pengeluaran dan pelbagai barangan yang dihasilkan. Contohnya, industri berkembang dengan pesat. Negara menetapkan kedudukan dalam ekonomi global. Barang-barang yang dahulunya diimport sekarang telah dihasilkan dalam negara. Import baru menjadi keperluan. Jadi, untuk mengimbangi barangan import, maka barang-barang eksport hendaklah berkualiti.


      5.  Era Konsumsi (pengambilan) Tinggi.

Pada tahap ini, sebahagian besar masyarakat hidup makmur. Orang-orang yang hidup dalam masyarakat tersebut mendapat kemakmuran dan kesefahaman sekaligus. Menurut Rostow, pada saat ini, masyarakat yang sedang berada dalam peringkat ini adalah masyarakat Barat atau Utara. 

Pada tahap ini, perhatian masyarakat lebih terarah kepada masalah-masalah yang berkaitan dengan penggunaan dan kesejahteraan masyarakat, bukan lagi kepada masalah pengeluaran. Pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran tidak lagi menjadi tujuan utama. Terdapat tiga (3) tujuan masyarakat ataua negara pada ketika itu, iaitu : 
       
       a) Memperluas kuasa dan pengaruh ke luar negara dan kecenderungan itu akan berakhir seandainya berlaku perjajahan terhadap bangsa lain.

       b) Mewujudkan negara yang sejahtera dengan cara berusaha mewujudkan pembahagian pendapatan yang lebih luas melalui sistem cukai yang progresif.

       c) Meningkatkan konsumsi (pengambilan) masyarakat melebihi keperluan asas yang merangkumi barangan yang tahan lama dan barangan mewah.


Jika dilihat secara holistik, Teori Modenisasi merupakan istilah yang digunakan untuk menunjukkan kemajuan atau proses perubahan. Ianya merangkumi pelbagai aspek kehidupan dalam masyarakat. Natijahnya, ianya mewujudkan klasifikasi masyarakat iaitu tradisional dan moden. Selain itu Modenisasi juga tidak dapat dipisahkan dari istilah Transformasi di mana Modenisasi tidak akan wujud tanpa berlakunya Transformasi. Hal ini merupakan antara faktor mengapa Teori Modenisasi ini hanya sesuai diaplikasikan oleh negara yang sedang membangun. Bagi negara yang sedang membangun,  ia memerlukan satu proses perubahan yang secara langsung mempunyai kaitan dengan Teori Modenisasi itu sendiri.


Rujukan.

Monday, February 25, 2013

Pembangunan ialah mencipta bangunan ? benarkah ?

Entry kali ni entah mengapa tiba-tiba diri terpanggil untuk berkongsi serba sedikit ilmu berkaitan apa itu pembangunan? atau lebih tepat lagi definisi pembangunan.

Believe it or not, apabila sebut sahaja perkataan pembangunan itu sendiri, minda kita tidak lain dan tidak bukan secara automatiknya akan terus memfokuskan kepada kepesatan pembinaan bangunan-bangunan (pembinaan sebuah bandar). Tapi sejauh manakah kebenarannya? siapa yang memberitahu kita pembangunan itu ialah bina bangunan? buku mana yang menjelaskannya? carilah kalau ada... Ha..kalut?

Sebenarnya, perkataan "pembangunan" mempunyai makna yang sangat luas, dan tafsiran bahawa pembangunan itu adalah bina bangunan hanya skop kecil yang terkandung di dalam definisi pembangunan itu sendiri. Jawapan itu tak salah. Cuma..kita terdidik dalam satu pemikiran yang sempit. Siapa yang didik? Ha...tepuk dada tanyalah diri..

Menurut Saul M. Katz dalam Guide to Modernizing Administration for National Development (1996), pembangunan didefinisikan sebagai perubahan daripada keadaan biasa kepada keadaan yang dikatakan lebih baik atau ditingkatkan.

Oleh itu, pembangunan bukan sahaja dalam bentuk fizikal seperti struktur bangunan sahaja tetapi meliputi apa-apa sahaja, asalkan ianya boleh diperbaharui dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, kewangan, masyarakat, organisasi dan sebagainya..Perlukan contoh yang lebih jelas lagi? Ok..contohnya :

Kita lihat dari sudut masyarakat kita. Kedatangan Islam di Tanah Melayu dah lama bukan? dibawa oleh pedagang Arab yang singgah dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Tapi, penguasaan dan praktikalnya pemakaian cara Islam lambat berkembang. Masyarakat kita berubah sedikit demi sedikit dari satu zaman ke satu zaman secara majoritinya..Zaman 60-an, budak-budak sekolah menengah masih memakai skirt dan seluar pendek. Sekolah pun tak menguatkuasakan pemakaian tudung. Tahun 90-an baru mula nampak penguatkuasaan dibuat. Disini, bukan nak mempertikaikan kenapa penguasaan masyarakat lambat, tetapi lihat dari sudut proses perkembangan itu. Perubahan yang berlaku dari satu keadaan yang sebelumnya kepada keadaan seterusnya yang lebih baik. Itulah yang dinamakan pembangunan...
Emm..jadi..apa yang membawa kepada pembangunan adalah perubahan sesuatu masyarakat itu..Sebab itulah konsep ini selalu diperkata dan dibincangkan oleh semua orang termasuklah ahli politik, wartawan, pemerintah dan sebagainya..Semuanya mempunyai satu tujuan iaitu memahami dengan lebih mendalam dari sudut teori dan praktikal terhadap proses pembangunan yang bersifat divergen.

Diharap entry kali ini dapat memberikan serba sedikit pencerahan ya..