Tuesday, March 26, 2013

Perubahan Sosial


Teringat minggu lepas sahabat mengadu dan merungut kerana masyarakat memandang sinis dirinya gara-gara dia memberitahu nama kursus yang diambil. Gara-gara perkataan ‘sosial’, dia telah diberikan stigma oleh masyarakat.

Kenapa masyarakat memandang ‘sosial’ itu negatif? Benarkah ‘sosial’ itu bersifat negatif dan adakah selamanya bersifat negatif? Ermm… Mari kita kupas hal ini bersama-sama. Mungkin dari perkongsian anda semua dapat memberikan impak yang berguna atau paling tidak sedikit pencerahan buat semua.
Menurut Lewis, sosial adalah sesuatu yang dicapai, dihasilkan dan ditetapkan dalam interaksi sehari-hari di antara rakyat dan pemerintah. Lain pula halnya menurut Philip Wexler di mana beliau melihat dari sudut yang lebih dalam. Menurutnya, sosial adalah sifat dasar dari setiap individu manusia. Engin Fahri. I pula mendefinisikan sosial sebagai inti dari bagaimana setiap individu berhubungan. Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa sosial merupakan keadaan di mana terdapatnya individu lain atau lebih tepat lagi, sosial bermaksud kemasyarakatan. Kehadiran individu lain itu bukan sahaja secara nyata, malah meliputi kehadirannya secara tidak nyata(imaginasi). Setiap kali anda melihat orang atau mendengar sahaja, hal itu merupakan situasi sosial. Contoh lain, membuat panggilan, berbual melalui internet, berinteraksi di laman sesawang Facebook, membayangkan seseorang, menulis surat, dan mengingati peristiwa buruk termasuk dalam kegiatan sosial.

Untuk lebih jelas lagi, sekarang cuba anda bayangkan di manakah anda betul-betul sendirian? Tidak berbuat apa-apa dan tidak memikirkan apa-apa? Mesti sukar bukan? Maka, benarlah apa yang . Jadi, di manakah rasionalnya sosial itu sesuatu yang negatif?

Mari kita kupas dengan lebih mendalam apa itu perubahan sosial pula…

Perubahan sosial ialah perubahan yang berlaku pada struktur sosial sesebuah masyarakat, di mana pola hubungan sosial yang lama digantikan dengan pola hubungan sosial yang baru. Menurut Karl Marx, perubahan sosial ialah perubahan daripada masyarakat feudal kepada masyarakat kapitalis(dari sudut pandangan ekonomi). Manakala menurut Durkheim, perubahan sosial ialah perubahan dari masyarakat dengan solidariti mekanik menjadi masyarakat dengan solidariti organik(dari sudut pandangan demografi).

Terdapat 3 pola perubahan sosial iaitu Pola Linear, Pola Siklus dan Pola Gabungan Linear dan Siklus. Pola Linear ialah masyarakat yang sederhana menuju kepada masyarakat yang maju dengan pembahagian kerja yang kompleks. Manakala Pola Siklus pula merujuk kepada masyarakat yang berkembang seperti roda iaitu kadang kala berada di atas (kaya/senang) dan kadang kala berada di bawah(susah/miskin). Pola Gabungan pula menurut Etziony dan Halevy, beberapa teori perubahan sosial menunjukkan adanya perpaduan di antara Pola Linear dan pola Siklus.

Kesimpulannya, sosial itu sendiri sifatnya sangat luas dan berdirinya bukan dilihat sebagai sesuatu yang negatif hanya kerana label masyarakat terhadap tingkah laku negatif segelintir kelompok dalam masyarakat itu yang menyebabkan berlakunya salah faham dalam mentakrifkan makna sosial itu sendiri. Sekian.

No comments:

Post a Comment